Peraturan label maklumat pemakanan baharu akan berkuatkuasa pada Julai 2022
Adakah anda pemilik produk, pembuat label atau pengeluar/pengilang? Tahukah anda kerajaan Malaysia telah membuat pindaan pada peraturan label maklumat pemakanan bagi kandungan natrium dan gula?
Peraturan label maklumat pemakanan Malaysia baharu ini akan berkuatkuasa pada Julai 2022. Oleh itu, sebagai seorang pengusaha industri makanan, anda perlu mengambil tahu tentang perubahan ini dan mengubah label produk anda sebelum Julai. (Nota: Tidak semua produk makanan memerlukan label maklumat pemakanan.)
Untuk pengetahuan anda, peraturan yang dipinda adalah Peraturan 18B, Peraturan-peraturan Makanan 1985.
Kandungan Natrium
Peraturan label maklumat pemakanan baharu akan mewajibkan pelabelan kandungan natrium pada pembungkus makanan.
Sebab utama pindaan ini dilakukan adalah untuk menggalakkan orang awam mengurangkan pengambilan garam atau natrium. Selain itu, strategi baharu ini juga akan menggalakkan orang awam membuat pilihan yang lebih sihat dengan mengetahui kandungan natrium dalam makanan mereka.
Pindaan yang dibuat adalah seperti berikut:
“(c) jumlah natrium yang dinyatakan dalam miligram bagi setiap 100 g atau bagi setiap 100 ml atau bagi setiap bungkusan jika bungkusan itu mengandungi hanya satu bahagian dan bagi setiap hidangan sebagaimana yang dinyatakan pada label.”;
Sumber dari Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (Tahun 2020):
Peraturan-Peraturan Makanan (Pindaan) (No.4) 2020
Kandungan Gula
Terdapat juga perubahan pada pelabelan kandungan gula pada pembungkus makanan.
Sebelum ini, kandungan gula (monosakarida dan disakarida) perlulah dilabel untuk minuman sedia untuk di minum sama ada secara asli atau ditambah.
Selaras dengan pindaan baharu ini, akan mewajibkan pelabelan kandungan gula untuk semua produk makanan yang diwajibkan mempunyai label maklumat pemakanan.
Dalam kes ini, peraturan lama akan digantikan dengan peraturan baharu seperti dalam jadual di bawah:
Peraturan Lama | Peraturan Baru |
(b) jumlah protein, karbohidrat yang sedia ada (iaitu karbohidrat yang tidak termasuk serabut diet) dan lemak, dinyatakan dalam g bagi setiap 100g atau bagi setiap bungkusan jika bungkusan itu mengandungi hanya satu bahagian dan bagi setiap satu hidangan sebagaimana yang dinyatakan kuantitinya pada label. | (b) jumlah protein, karbohidrat yang sedia ada (karbohidrat yang tidak termasuk serabut diet), jumlah gula dan lemak, dinyatakan dalam g bagi setiap 100 g atau bagi setiap 100 ml atau bagi setiap bungkusan itu mengandungi hanya satu bahagian dan bagi setiap satu hidangan sebagaimana yang dinyatakan pada label. |