Label: Elak kesalahan pada label makanan
Pelabelan makanan di Malaysia adalah penting jika anda seorang pengilang atau pengeluar makanan, terutamanya apabila ia berkaitan dengan produk makanan pra-pembungkusan. Ianya bukan sahaja keperluan dari segi undang-undang, tetapi ia juga membantu pengguna membuat keputusan pembelian yang selamat.
Kesilapan Pelabelan Makanan untuk dielakkan
Sejak pelaksanaan pelabelan produk, terdapat peningkatan yang positif dan kesedaran di kalangan pengilang atau pengeluar makanan. Lebih banyak pelabelan dilakukan dengan betul oleh pengeluar makanan di Malaysia. Walau bagaimanapun, masih juga berlaku beberapa kesilapan biasa yang berlaku sehingga ada yang didenda oleh pihak KKM.
Antara kesilapan yang perlu anda elakkan semasa membuat label makanan untuk produk makanan ialah label tidak boleh dibaca. Label perlu kelihatan dengan jelas agar mudah dibaca oleh pelanggan. Jika tulisan pada label tersebut sangat kecil sehingga pelanggan tidak dapat membacanya, ia menggagalkan tujuan untuk mempunyai label tersebut. Kesilapan ini juga akan menyebabkan kekeliruan di kalangan pelanggan. Anda berisiko didenda oleh pihak berkuasa jika berlaku kesilapan ini kerana ia adalah salah satu keperluan undang-undang asas untuk pelabelan makanan di Malaysia.
Seterusnya ialah kegagalan untuk memasukkan maklumat alergen pada label. Alergen ialah bahan yang menyebabkan reaksi alahan pada sesetengah orang. Alergen boleh didapati secara semula jadi dalam makanan seperti susu, telur, dan kacang tanah. Kegagalan untuk memasukkan maklumat ini boleh menyebabkan orang yang mengalami alahan yang mengambil produk tersebut akan mengalami kesan buruk kepada kesihatan mereka seperti muntah dan cirit-birit, sakit kepala atau sakit perut.
Oleh itu, alergen mesti dilabel dengan jelas supaya pengguna tahu bahan apa yang perlu dielakkan semasa membeli produk tertentu. Kegagalan berbuat demikian adalah satu kesalahan berat di bawah Akta Makanan Malaysia 1983 dan boleh didakwa.
Selain itu, antara kesilapan pada label ialah membuat dakwaan palsu dan mengelirukan. Ini termasuklah tuntutan seperti “rendah lemak”, “rendah gula” dan “tiada gula tambahan”. Pihak KKM telah menetapkan kriteria khusus untuk tuntutan ini supaya pengeluar makanan mesti memastikan produk mereka memenuhi kriteria tersebut sebelum membuat sebarang tuntutan. Oleh itu, pengeluar makanan perlu berhati-hati dan jujur di dalam membuat sebarang kenyataan tentang produk.
Maklumat pemakanan wajib dimasukkan di dalam label dan bungkusan. Panel Maklumat Pemakanan (NIP) adalah wajib untuk semua makanan berbungkus yang dijual di Malaysia. Ini termasuk barangan yang telah dibungkus seperti biskut, roti, makanan ringan dan minuman. NIP perlu memaparkan maklumat tentang kandungan kalori (tenaga), lemak, lemak tepu, gula dan garam setiap saiz hidangan. Ia juga perlu menunjukkan nilai Indeks Glisemik (GI) untuk sesetengah produk untuk membantu pengguna memilih pilihan yang lebih sihat.
Adalah menjadi satu kesilapan besar bagi pengeluar untuk tidak memasukkan maklumat pemakanan pada label.